Penipuan dakwat kekal, Pengerusi, Timbalan SPR patut didakwa
(Oleh Mohd Arif Juhani)
KUALA LUMPUR 20 MEI: NGO Jingga 13 mendesak Ketua Polis Negara (KPN) yang baru menangkap dan mendakwa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas jenayah menipu rakyat dalam kes dakwat kekal yang tidak kekal.
Koordinatornya, Fariz Musa berkata dalam kenyataan, polis sepatutnya menangkap dan mendakwa mereka berdua atas kesalahan jenayah menipu mengenai dakwat kekal yang digunakan pada dua hari mengundi ketika PRU ke-13.
“Ini satu pembohongan kerana perkara yang sama masih berlaku pada 5 Mei dan inimenunjukkan dakwat yang dibeli SPR tidak berkualiti dan kekal seperti yang dicanang,” ujarnya mengesyaki wujud ketirisan dalam pembelian dakwat itu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu juga kesal kerana tiada tindakan diambil walaupun banyak laporan polis dibuat berhubung isu dakwat tersebut.
“Kita desak supaya satu siasatan terperinci dilakukan berhubung isu dakwat itu kerana jutaan ringgit wang rakyat hangus membeli dakwat tidak berkualiti itu,” kata Fariz.
Katanya, tindakan pantas polis menahan blogger Milosuam, King Jason dan terbaru aktivis mahasiswa Adam Adli menunjukkan dwi-standard KPN baru kerana pada masa sama gagal bertindak terhadap Pengerusi dan Timbalannya yang membazirkan wang rakyat bagi membeli dakwat kekal.
No comments:
Post a Comment