Friday 24 May 2013

Pengerusi SPR dan Timbalan didesak letak jawatan


Pengerusi SPR dan Timbalan didesak letak jawatan

TERENGGANU, 24 MEI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar didesak meletakkan jawatan berikutan penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-13.anwar8
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak ada tolak ansur dalam penipuan pilihan raya, apatah lagi SPR memaksa rakyat menerima sahaja keputusan yang diumumkan.
“Kita ada bukti peti undi hilang ada. Kita ada bukti orang asing mengundi. Kita ada bukti (wakil parti) tak boleh pantau. Sebab itu kita mesti tuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR letak jawatan serta merta,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh hadirin.
Anwar menjelaskan, sistem pilihan raya dikendali SPR membolehkan manipulasi dan muslihat termasuk dari 500,000 undi pos polis, tentera, petugas SPR dan pengamal media di seluruh negara.
Justeru, Anwar menyeru kepada pihak yang mempunyai bukti termasuk anggota polis, tentera, petugas SPR dan orang awam untuk membuat laporan polis dan menyerahkan salinan di mana-mana pejabat parti Pakatan Rakyat.
“Mulai pagi esok (hari ni), kalau boleh orang-orang yang bekerja dengan SPR, yang ada integriti buat laporan kepada polis. Tidak salah dan tidak susah. Kalau buat begitu, dengan sendirinya menjawab persoalan (yang dibangkitkan) Umno,” kata Anwar.
Pilihan raya semula dikawasan berlaku salah laku
Dalam pada itu, Anwar turut mendesak pilihan raya diadakan semula di hampir 30 Parlimen yang berlaku salah laku sepanjang proses pilihan raya pada 5 Mei lalu.
“Kita tuntut pilihan raya semula di 30 parlimen. Dia (SPR) rampas hak kita. Maruah kita dicabar. Hendak terima dengan sabar? Sudah sampai ketikanya rakyat mesti bangkit.
Ganu_505
Lebih 30,000 rakyat Terenggan tekum mendengar ucapan pemimpin Pakatan Rakyat di Himpunan #Black505 di Kuala Ibai, malam tadi
“Dunia sedang memerhatikan Malaysia. Ia masih belum selesai. Biar rakyat tentukan wakil mereka yang sah,” tegas Anwar.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli melalui pasukan Siasat PRU-13 mendedahkan 237 aduan salah laku dan penyelewengan pilihan raya di 27 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Enam kesalahan pilihan raya dikenal pasti termasuk pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana undi sudah dibuang orang lain, kesalahan SPR seperti menandatangani Borang 14 sebelum pengiraan bermula dan pengundi disyaki warganegara asing diberikan kad pengenalan dan mengundi.

No comments:

Post a Comment