Pendakwaan 505 tunjuk keangkuhan Umno BN – Anwar
KUALA LUMPUR 10 JUN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN semakin angkuh apabila menangkap dan mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat berhubung penganjuran Himpunan Black 505.
“Keangkuhan kuasa ini akan memakan diri. Ia tidak akan berjaya mematahkan semangat rakyat. Mereka boleh memenjarakan kita, tetapi semangat rakyat tidak boleh dikalahkan,” katanya dalam kenyataan.
“Pendakwaan terhadap mereka dan aktivis lain kerana aktiviti membabitkan himpunan 505 menunjukkan pembohongan Najib (Razak) terhadap agenda perubahan sepertimana yang dicanang kepada dunia,” sambung Anwar.
Menurutnya, penggunaan Akta Hasutan selepas Perdana Menteri berjanji akan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan perbuatan sia-sia.
“Najib hanya membuktikan dia bukan seorang mulia, melanggari apa yang dijanjikan, menghapuskan satu akta dan kemudian menggantikan dengan akta yang sama.
“Maka tidak hairanlah, bila P Uthayakumar tidak mahu meneruskan pembelaan dan memilih untuk dipenjarakan, beliau sebenarnya memilih untuk membayar satu harga yang sangat tinggi dalam perjuangan yang diyakininya,” kata Anwar.
Beliau turut memetik ungkapan Malcolm X sebagai peringatan bahawa keangkuhan Umno itu akan berbalas.
“Kuasa dalam mempertahankan kebebasan dan jika saya mungkin menambah, keadilan dan maruah kita adalah lebih besar daripada kuasa yang ada pada kezaliman dan menindas,” kata Anwar.
No comments:
Post a Comment